Isnin, 26 Disember 2011

Merpati pandai mengira


LONDON 25 Dis. - Burung merpati sejak dahulu lagi dikenali dengan kebolehannya untuk mencari jalan pulang, tetapi penyelidikan terbaru mendapati haiwan itu turut boleh mengira.

Dr. Damian Scarf dari Universiti Otago di New Zealand berkata, mereka mendapati burung merpati boleh membezakan nombor dari satu hingga sembilan dan menyusunnya mengikut turutan.

Menurutnya, sebelum ini hanya manusia dan beberapa primat lain diketahui mampu mengira.

"Penyelidikan kami bukan sahaja menunjukkan burung merpati mampu mengira, tetapi turut menunjukkan kemampuan sama seperti monyet yang sememangnya diketahui boleh mengira.

"Burung merpati mempunyai keupayaan mental yang menakjubkan," katanya dalam jurnal Sains antarabangsa.

Penyelidikan itu pada mulanya melatih haiwan itu dengan menunjukkannya 35 set daripada tiga gambar dengan setiap satunya berbeza saiz, warna dan bentuk.

Burung itu akan diberikan gandum jika berjaya mengambil gambar yang sama.

Burung itu kemudiannya diuji sama ada boleh mengingati apa yang dipelajari daripada ujian pertama itu untuk membezakan imej nombor lebih banyak serta menyusunnya mengikut turutan dan ia berjaya melakukannya.

"Walaupun keupayaannya masih jauh berbeza berbanding manusia, tetapi ia menunjukkan haiwan yang mempunyai struktur otak yang berbeza dengan manusia masih berupaya melakukan ujian mental yang kompleks dan sebelum ini hanya manusia yang difikirkan mempunyai keupayaan itu," kata Dr. Scarf. - AGENSI

Rabu, 21 Disember 2011

Diet makan ketat mudakan fikiran


WASHINGTON 20 Dis. - Diet pemakanan yang ketat mampu memudakan fikiran, menurut sekumpulan saintis dari Itali.

Kajian yang disiarkan semalam dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences di Amerika Syarikat itu berdasarkan penyelidikan terhadap tikus yang diberi diet kira-kira 70 peratus daripada makanan yang sepatutnya diambil mereka.

Saintis tersebut mendapati diet kurang kalori menjana molekul protein, CREB1 yang mengaktifkan gen berkaitan dengan panjang umur dan fungsi otak yang baik.

"Harapan kita bagi mencari jalan untuk mengaktifkan CREB1, melalui penghasilan ubat baru bagi meremajakan otak tanpa perlu melakukan diet ketat," kata Ketua Penyelidik, Giovambattista Pani, dari Institut Patologi Umum, Fakulti Perubatan, Catholic University of Sacred Heart di Rome.

Melalui kajian itu, mereka mendapati tikus yang sedang berdiet menunjukkan kemampuan kognitif dan ingatan yang kuat, lebih sopan dan cenderung mengelak atau melambatkan penyakit Alzheimier atau nyanyuk. Namun masih belum pasti puncanya.

"CREB1 dikenali mampu mengawal fungsi otak utama seperti menghafal, belajar dan mengawal kebimbangan. Ia juga mengurangkan atau berkompromi secara psikologi dengan penuaan," menurutnya.

Tikus yang secara genetik kurang CREB1 tidak menunjukkan kebolehan seperti tikus dengan diet kurang kalori, sama seperti tikus yang diberi makan secara berlebihan.

"Penemuan pertama kali ini penting sebagai perantara mengenai kesan diet terhadap otak. Ia mempunyai implikasi bagi pembangunan terapi di masa depan bagi mengekalkan kecerdasan fikiran dan mengelakkan kemerosotan serta proses penuaan," kata Pani.

Ketua Neurologi Hospital Hillside Zucker di Glen Oaks, New York, Dr. Mark Gordon berkata, penemuan tersebut membuka pendapat baru mengapa sesetengah individu yang mengalami obesiti pada usia pertengahan berdepan dengan masalah kognitif di akhir usia.

"Obesiti pertengahan usia dikaitkan dengan nyanyuk. Bagaimanapun asas fisiologi terhadap kaitan ini masih samar," kata Gordon. - AFP

Jumaat, 16 Disember 2011

Ibu bapa sibuk, anak boleh sakit mental



PUTRAJAYA – Ramai remaja dan kanak-kanak di negara ini mengalami masalah kesihatan mental disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat termasuk ibu bapa sibuk bekerja dan tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi anak-anak.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tong Lai, isu masalah kesihatan mental kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun meningkat daripada 12.3 peratus pada tahun 1996 kepada 19.1 peratus tahun ini.

“Peningkatan yang sama juga berlaku di kalangan remaja berusia 15 dan 16 tahun daripada 13.4 peratus pada 1996 kepada 22.2 peratus pada tahun ini,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

Masalah tersebut dikesan melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan peningkatan terhadap isu kesihatan mental di kalangan golongan berkenaan pada tahun ini berbanding kajian 2006.

Tinjauan itu turut menunjukkan peningkatan terhadap masalah obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, tabiat merokok, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan di kalangan masyarakat negara ini.

Tiong Lai memberitahu, kajian itu walaupun tidak mengkaji punca berlakunya peningkatan berkenaan tetapi beliau berpendapat masalah kesihatan mental itu berpunca daripada ramai ibu bapa yang sibuk bekerja dan tiada masa mengetahui masalah yang dihadapi anak-anak mereka.[kosmo]

Isnin, 12 Disember 2011

Kesiaaan...Bayi siapakah ini??




KUALA LUMPUR 12 Dis. – Seorang bayi perempuan dipercayai baru seminggu dilahirkan ditemui di Taman Cheras Prima, Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, bayi tersebut ditemui oleh seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun ketika melalui sebuah taman permainan di taman itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Beliau berkata, pengadu yang tinggal berhampiran kawasan tempat kejadian telah berjalan kaki melalui taman permainan itu dan terjumpa bayi perempuan dalam gelongsor.

"Bayi itu dibalut dengan sehelai seluar pendek berwarna biru dan tidak menangis serta ada gigitan semut di bahagian badan bayi,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.

Ab Rashid berkata, pelajar itu kemudiannya membawa bayi itu ke rumahnya sebelum membuat laporan polis hari ini.

"Pemeriksaan doktor mendapati bayi tersebut dipercayai berumur seminggu berpandukan tali pusat yang masih baru dan telah dipotong dan bersimpul serta dalam keadaan sihat,” katanya. – Bernama

Jumaat, 9 Disember 2011

Nasihat aktres Harry Potter kepada remaja




HONG KONG - Bintang filem Harry Potter, Emma Watson menasihati remaja supaya menerima rupa paras mereka seadanya.

Berkunjung ke pulau ini untuk kali kedua, Watson, 21, enggan mengulas laporan bahawa hubungannya dengan teman lelakinya, aktor Johnny Simmons kini retak.

Aktres Britain berkenaan yang melakonkan watak Hermione Granger dalam siri filem Harry Potter tiba di Hong Kong kelmarin atas urusan perniagaan.

Bercakap kepada pemberita semalam, Watson berkata, sebagai contoh teladan kepada golongan remaja, dia menasihati mereka supaya: "Jadi diri sendiri dan lakukan yang terbaik supaya anda selesa dengan diri anda. Anda adalah diri anda dan itu yang terbaik.,"

Sekitar 100 peminat memegang buku Harry Potter dan majalah fesyen menampilkan gambar Watson semasa menyambut aktres itu yang tiba dengan memakai pakaian berwarna biru. - Agensi