Rabu, 28 September 2011

Hebat akak ni



DUNGUN – Seorang wanita sanggup menggadaikan nyawa dengan meredah api yang sedang marak semata-mata mahu menyelamatkan wang tunai RM2,000 dalam kejadian kebakaran di rumahnya di Felda Jerangau dekat sini kelmarin.

Masliza Mohd., 27, bertindak demikian selepas dia berjaya membawa keluar dua anak kecilnya, Isma Haikal Ismail, 4, dan Mohd. Adam Daniel, 2, dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.

Menurut suri rumah itu, selepas berjaya menyelamatkan dua anaknya, dia tiba-tiba teringatkan wang tunai RM2,000 milik seorang peneroka yang disimpan di dalam rumahnya.

Katanya, duit itu diperoleh daripada suaminya, Ismail Ibrahim, 31, yang mengambil upah mengait dan menjual kelapa sawit seorang peneroka di Felda terbabit dan bercadang untuk menyerahkan duit itu kepadanya dalam masa terdekat.

“Saya lupakan bahaya dan risiko meredah api kerana takut duit itu hangus kerana duit itu bukan milik kami. Lagipun, sukar untuk kami sekeluarga mencari pendapatan lain untuk menggantikan semula duit peneroka itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengimbas kejadian itu, cerita Masliza, dia sebelum itu sedang melayan dua anak kecilnya di ruang tamu sebelum ternampak asap hitam yang keluar dari bahagian dapur.

“Saya ingat asap itu berpunca daripada tindakan adik ipar yang membakar sampah di belakang rumah, tetapi selepas ditinjau, sebahagian dapur rumah saya sudah dijilat api.

“Api kemudian dengan pantas menyambar bahagian ruang tamu membuatkan saya panik dan segera membawa keluar dua anak kecil saya,” katanya.

Sejurus selepas keluar dari rumah, Masliza berkata, dia berpatah balik dan meredah api yang sedang marak apabila teringat beg tangannya yang mengandungi duit RM2,000 milik seorang peneroka.

Katanya, beg yang turut mengandungi duit miliknya bernilai RM1,000 itu disimpan di sebuah bilik di rumah itu.

“Ketika itulah saya memberanikan diri dengan naik semula ke rumah tanpa memikirkan keselamatan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Salleh Sarbini ketika dihubungi berkata, 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Khamis, 22 September 2011

Tabiat buruk orang kaya arab makan




RIYADH - Sebuah restoran di Arab Saudi mendenda pelanggan mereka yang memesan makanan yang berlebihan tetapi gagal untuk menghabiskannya.

Semenjak pendekatan tersebut dilakukan, beberapa pelanggan di Restoran Marmar di Damman itu telah dikenakan bayaran mengikut jumlah baki makanan yang tertinggal di dalam pinggan mereka.

Tujuan utama caj tersebut dilakukan adalah untuk mengurangkan pembaziran dan menghalang pelanggan daripada memesan makanan secara berlebihan.

Pemilik restoran itu, Fahad Al Anezi berkata, denda tersebut amat penting kerana ramai pelanggannya yang memesan makanan dalam jumlah yang besar hanya untuk menarik perhatian dan menunjukkan status sosial mereka.

Menurutnya, maklum balas terhadap denda caj tersebut memberi impak positif sejak ia diperkenalkan namun dia tidak memberitahu apa yang akan dilakukan ke atas wang caj yang dikenakan itu. - Agensi

Isnin, 19 September 2011

10 Perkara Yang Merosakkan Otak




1. Tidak bersarapan - mengakibatkan kandungan gula dalam darah menjadi rendah seterusnya otak akan kekurangan zat dan menyebabkan keupayaannya merosot.
2. Terlebih makan - menyebabkah saluran darah pada otak mengeras dan melemahkan keupayaannya.
3. Merokok - otak menjadi kecut dan meningkatkan risiko penyakit Alzheimer
4. Berlebihan pengambilan gula - mengganggu proses penyerapan protein dan zat dan seterusnya tubuh badan akan berkurangan zat makanan. Ini mengganggu perkembangan otak
5. Pencemaran udara - Otak merupakan organ yang paling banyak menggunakan oksigen. Menyedut udara yang tercemar menyebabkan otak kekurangan oksigen seterusnya mengurangkan kecekapan otak
6. Tidur tak cukup - tidur merehatkan otak. Kurang tidur menyebabkan mempercepatkan kematian sel-sel otak.
7. Serkup kepala ketika tidur - dengan menyerkup kepala ketika tidur, kepekatan gas karbon dioksida meningkat dan kepekatan gas oksigen menurun. Ini mampu menigkatkan kesan kerosakkan otak
8. Menggunakan otak ketika sakit - Kuat berfikir seperti mentelaah pelajaran ketika sakit mengurangkan kecekapan otak dan boleh membawa kepada kerosakan otak.
9. Kurang berfikir (ketika sihat) - Senaman untuk otak adalah berfikir dengan serius. Kurang aktiviti itu menyebabkan otak mengecut.
10. Kurang bercakap - Berbual perkara-perkara yang berat dan serius atau berbincang membantu kecekapan dan perkembangan otak.

Kesimpulannya adalah jaga makan, jaga tidur , sering berfikir untuk memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat dan sering bertukar-tukar fikiran melalui perbincangan secara intelektual amat penting untuk menjadi manusia yang menjaga otaknya dan menunaikan amanah serta tanggung jawabnya sebagai khalifah di muka bumi.
[sumber]

Ahad, 18 September 2011

Heidi Klum paling bahaya di ruang siber


LOS ANGELES - Supermodel dan hos televisyen terkenal, Heidi Klum telah dinamakan sebagai selebriti paling bahaya di ruang siber kerana beliau dikatakan mengundang virus dan malware ke dalam komputer.

Firma keselamatan Internet McAfee memberitahu, orang ramai gemar mendapatkan carian untuk memuat turun kisah berkaitan bekas model Victoria's Secret dan gambar skrin juri rancangan Project Runaway itu.

Akibatnya, mereka berdepan satu daripada sepuluh risiko masuk ke dalam laman web yang penuh dengan spyware, spam, phishing dan virus-virus lain yang direka untuk mencuri maklumat peribadi pengguna komputer. - Reuters

Selasa, 13 September 2011

Saintis hasilkan kucing bersinar


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan saintis AS menghasilkan seekor kucing yang bersinar-sinar dalam kajian mereka untuk menangani penyakit virus Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS)

Apabila kucing itu diletakkan di bawah cahaya biru, bulu, misai dan kuku kaki haiwan berkenaan kelihatan bersinar dengan warna hijau..

Kumpulan penyelidik berkenaan menggunakan gen yang mengeluarkan kilauan untuk menandakan kehadiran sejenis protein yang dimasukkan ke dalam telur haiwan tersebut.

Protein itu diambil daripada monyet Macaque.

Kajian itu disiarkan kelmarin dalam jurnal Nature Methods yang menyatakan gen monyet tersebut dimasukkan ke dalam telur kucing.

Saintis-saintis juga memasukkan gen obor-obor yang menyebabkan sel-sel kucing menjadi berkilauan.

Ujian ke atas sel-sel yang diambil dari kucing itu menunjukkan ia mampu menangani virus yang menyebabkan AIDS ke atas kucing. - Reuters

Sabtu, 10 September 2011

Tak berbaloi mati masuk neraka hanya kerana cintakan pasangan



SEREMBAN – Kisah cinta bak ‘Romeo dan Juliet’ sepasang kekasih yang sepatutnya mengecapi kebahagiaan berakhir dengan tragedi apabila si lelaki maut manakala teman wanitanya pula parah selepas mereka meminum racun serangga setelah kecewa hubungan itu dihalang keluarga.

Kejadian pukul 8 pagi di sebuah rumah di Taman Bunga Sejati, Rantau dekat sini semalam itu mengakibatkan Muhammad Faizal Raj Abdullah, 28, mati di tempat kejadian manakala Zuzziana Rahmat, 18, pula parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di sini.

Difahamkan, Muhammad Faizal yang baru beberapa bulan memeluk Islam berasal dari Nilai manakala Zuzziana berasal dari Sungai Pelek, Selangor.

Pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan di lantai ruang tamu oleh jiran mereka, Suthir Baba, 26, sebaik dia pulang dari kerja.

Selain bekas minuman berisi sejenis cecair berwarna putih disyaki racun serangga, turut dijumpai dekat pasangan itu ialah sekeping nota yang tertulis mereka berbuat demikian kerana kecewa selepas hubungan cinta dihalang keluarga.

Mengimbau semula kejadian itu, Suthir memberitahu, sebaik sampai di rumah, dia ternampak wanita berkenaan keluar rumah untuk membuka pintu pagar sebelum masuk semula.

Katanya, tidak lama kemudian, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi orang bernafas dengan kuat dari dalam rumah mangsa.

“Saya kemudian mengajak beberapa lagi jiran untuk meninjau dan terkejut apabila mendapati wanita itu sudah terbaring di dada Muhammad Faizal. Kedua-duanya sudah kejang dengan mulut masing-masing keluar buih.

“Kami kemudian cuba membawa kedua-dua mangsa ke dalam kereta milik Muhammad Faizal untuk dibawa ke hospital tetapi malang kenderaan itu pula gagal dihidupkan sebelum menghubungi ambulans,” ceritanya di sini semalam.[kosmo]

Rabu, 7 September 2011

Keluarga bergaduh kerana dapat duit raya RM 1



ROSAK...Noleha menunjukkan pagar rumahnya yang dirosakkan abangnya kerana tidak berpuas hati cucunya kerana memperoleh duit raya RM1.

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak berpuas hati enam cucunya hanya mendapat duit raya RM1 daripada ibunya, seorang warga emas berusia 60 tahun gagal mengawal diri apabila menyerang dua adik perempuannya dengan merosakkan harta benda serta menghamburkan kata-kata kesat berbaur ugutan dalam kejadian Jumaat lalu.

Difahamkan kejadian berlaku selepas lelaki terbabit yang berlainan bapa dengan mangsa naik berang apabila enam cucunya hanya memperoleh duit raya RM1 daripada ibunya berusia 84 tahun sebelum menuduh kononnya dua adiknya itu mengawal duit ibunya yang sudah uzur.

Kejadian berlaku pada jam 10.30 malam di rumah seorang adik berkenaan, Noleha Sulong, 42, di Kampung Pengadang Baru, di sini, menyebabkan dia dan dan adiknya, Rokiah, 37, trauma serta hidup dalam ketakutan.

Noleha berkata, dia tidak sangka abangnya itu tergamak menyerang dia dan adiknya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan jumlah duit raya diberikan ibu mereka.


“Hairan juga saya dengan sikap abang yang tidak pernah berpuas hati dan berprasangka buruk terhadap kami adik-beradik, padahal bukan cucunya saja mendapat RM1, tetapi anak bongsu saya dan semua cucu lain turut mendapat jumlah yang sama.