assalamualaikum
Peperiksaan
UPSR, PMR, SPM dan STPM akan menjelma tidak lama lagi. Kebanyakan
pelajar yang akan mengambil peperiksaan ini sudah habis belajar sukatan
pelajaran masing-masing dan sepatutnya mereka semua sudah mula membuat
latih tubi untuk menghadapi peperiksaan yang besar ini. Selain daripada
melakukan sebanyak latihan yang mungkin, apakah perkara penting yang
perlu dilakukan ketika ini?
Satu
perkara penting yang patut anda lakukan ialah berlatih dengan suasana
peperiksaan. Saya selalu mendengar rungutan pelajar bahawa jika mereka
lakukan latihan di rumah, mereka boleh menjawab dengan baik, tetapi di
dalam dewan peperiksaan, lain pula jadinya. Kenapa anda mungkin hebat di
rumah dan di sekolah tetapi tidak begitu hebat semasa peperiksaan
sebenar?
Ada
beberapa sebab mengapa itu terjadi. Satu sebabnya ialah anda mungkin
telah membiasakan diri dengan aktiviti yang tidak boleh dilakukan di
dalam dewan peperiksaan. Contohnya, saya ada lihat pelajar yang suka
meletakkan kedua-dua kaki mereka di atas kerusi semasa belajar. Mereka
selesa belajar begitu. Tetapi, di dalam dewan peperiksaan mereka tidak
boleh buat begitu, lalu mereka jadi tidak selesa. Bila tidak selesa,
mereka tidak dapat berfikir sehebat bila mereka belajar di rumah.
Ada yang
suka menyanyi-nyanyi dan bersiul sewaktu membuat latihan. Mereka kata
mereka selesa begitu. Tetapi, tidak boleh bersiul dalam dewan
peperiksaan. Jadi, mereka rasa tidak selesa dan akibatnya, tidak dapat
menjawab dengan baik.
Apa yang
perlu anda lakukan ialah, perhatikan cara anda belajar di rumah atau
ketika bersendirian. Kenal pasti mana-mana perkara yang anda lakukan
yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan peperiksaan. Walaupun anda
selesa belajar begitu (seperti belajar sambil meniarap), anda akan rasa
tidak selesa semasa dalam dewan peperiksaan nanti. Kemudian,
perlahan-lahan hentikan perbuatan itu. Anda perlu ingat, jika anda
terlalu suka buat sesuatu yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan
peperiksaan, anda akan rasa tertekan semasa mengambil peperiksaan nanti.
Kemudian,
berlatih duduk di satu tempat yang sesuai dan buat latihan mata
pelajaran anda. Jika boleh, wujudkan suasana peperiksaan di mana anda
buat latihan itu mengikut masa yang ditetapkan dan anda tidak membuat
bising atau bergerak ke sana ke mari. Ringkasnya, berlagak seolah-olah
anda sedang menghadapi peperiksaan yang sebenar.
Kesannya?
Seperti biasa, mula-mula anda akan rasa tidak selesa dan janggal. Namun,
setelah dilatih, anda akan mula rasa selesa malah anda akan rasa lebih
mudah untuk fokus kepada latihan anda. Kemudian, insyaallah, anda akan
rasa selesa juga di dalam dewan peperiksaan nanti.
Selamat mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan