Ahad, 12 Jun 2011

Warga Emas Tinggal Di Pondok Tepi Hutan, Akibat Berkecil Hati Dengan Anak-Anak




KULIM, 12 Jun (Bernama) -- Kerana berkecil hati dengan anak-anak, seorang warga emas meninggalkan kampungnya di Sik, lalu mencuba nasib merantau ke Kampung Bikan Ulu, Labu Besar di sini.

Hassan Ahmad, 68, bekerja sebagai penoreh getah untuk seorang penduduk di kampung tersebut.

Namun nasib tidak menyebelahi beliau. Hasil getah kurang menjadi hingga beliau tidak mampu membayar wang sewa rumah.

Ini menyebabkan beliau terdesak membina sebuah pondok kecil tanpa bekalan air dan elektrik di pinggir hutan.

Setelah lebih setahun tinggal di pondok itu, kisah Hassan yang telah berpisah dengan isterinya sejak 10 tahun lalu, mendapat perhatian dan simpati Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Padang Serai.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian itu, Asmadi Abu Talib berkunjung ke pondok usang warga emas tersebut hari ini bagi menghulur bantuan.

Turut hadir ialah Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai Drs Ahmad Zubib Saad, Ketua Umno Cawangan Kampung Bikan Ulu Nazuri Abdul Rahim dan Pengerusi Angkatan Belia Melayu Bikan Jamil Abdul Nasir Zakaria.

Nazuri berkata beliau secara kebetulan terserempak dengan warga emas tersebut yang didapati tinggal di pondok usang di situ baru-baru ini.

"Atas rasa simpati saya bersama ahli jawatankuasa cawangan dan anggota-anggota persatuan belia telah mengambil inisiatif membaiki pondok tersebut supaya Pakcik Hassan dapat tinggal lebih selesa," kata Nazuri.

Sementara itu, Asmadi berkata pihaknya akan membawa masalah Hassan ke pengetahuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kulim dan Pejabat Pembangunan Persekutuan.

Menceritakan secebis kisah hidupnya, Hassan berkata, beberapa tahun sebelum itu setiap kali menyambut hari raya beliau menemui anak-anaknya di Sik.

"Tapi sejak setahun dua ini nampaknya pertalian saya dengan anak-anak yang bekerja di Johor dan Kuala Lumpur telah terputus. Walaupun saya sering menelefon mereka tetapi tidak dijawab," katanya.

Hassan menjangka ini berlaku akibat wujud sedikit salah faham sebelum itu antara beliau dengan anak-anaknya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: